Muallim (daerah)

Muallim ialah daerah kesebelas di negeri Perak. Ia telah diisytiharkan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah pada 11 Januari 2016 di Dewan Seri Tanjong Majlis Daerah Tanjung Malim.[4][5]Daerah ini sebelum ini adalah sebahagian daripada daerah Batang Padang. Ia berkeluasan 93,434.65 hektar (934.3465 km2) dan merangkumi tiga mukim: Slim, Hulu Bernam Timur dan Hulu Bernam Barat. Kawasan-kawasan yang dirangkumi daerah ini termasuk Tanjung Malim, Trolak, Slim River, Proton City dan sebahagian Behrang.[5][6] Populasi daerah ini sewaktu pengisytiharannya adalah 69,639.[4] Daerah Muallim terletak dalam Parlimen Tanjung Malim dengan dua Dewan Undangan Negeri: Slim dan Behrang.[6][7]Asal nama daerah Muallim adalah daripada perkataan Arab muallim yang bermaksud orang yang ahli dalam bidang agama. Nama yang berkaitan ilmu dan ilmuwan ini dipilih berdasarkan latar sejarah daerah ini: di daerah ini terletaknya Maktab Perguruan Sultan Idris yang menjadi pusat pengajuan tertinggi tempatan untuk orang Melayu sewaktu zaman pra-kemerdekaan Tanah Melayu dan melahirkan golongan pemikir Melayu yang mendorong nasionalisme bangsa dan perjuangan menuntut kemerdekaan.[5][6][8]Daerah ini telah mendapat kelulusan Kabinet pada 10 April 2015 dan telah diwartakan pada 1 Oktober tahun yang sama.[6][9] Nor Sham Rahman telah dilantik sebagai Pegawai Daerah bagi daerah ini pada 1 Disember 2015, menjadikan beliau wanita kedua yang dilantik sebagai Pegawai Daerah di Perak selepas Latipah Sehibi yang telah dilantik sebagai Pegawai Daerah Kampar pada April tahun tersebut.[9]

Muallim (daerah)

Pegawai daerah Nor Sham Rahman[1]
Pejabat daerah Tanjung Malim